"Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris simati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut (yang tidak dilarang Syarak) itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana..."

Surah Al baqarah : Ayat 240

Rabu, Oktober 12, 2011

Beza Akaun Islam Dan Konvensional
Dalam Konteks Semasa
( Artikel ini telah di terbitkan di Akhbar Metro Ahad 4 Jun 2006 )



Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Kita telah mengenali Riba kontemporari dalam produk pinjaman pelbagai dalam penulisan yang lalu, kali ini kita meninjau bentuk Riba kontemporari yang seterusnya dalam produk akaun pelaburan dan simpanan pula.
Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-
Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-
1) Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
2) Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam “conventional fixed deposit account”. Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.
Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu (fixed interest) sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 – 11 bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.
Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Shariah, kadar 3 % dari “fixed deposit account” tadi adalah Riba Ad-Duyun dari jenis Al-Qard. Ini adalah kerana, disiplin pelaburan ( iaitu Mudarabah atau Musyarakah) menurut Islam, pulangan keuntungan tidak boleh di tentukan sama sekali peratusannya. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).
Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Manakala dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu, hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.
Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).
Dalam pengurusan akaun secara Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, dimana semua pelanggan yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih sama ada ingin menggunakan:-
a) Akaun Simpanan atas asas Wadi’ah (simpanan biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);
Dalam kontrak ini, pihak bank akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan adalah sentiasa selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh pelanggan. Bagi memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak pengurusan Bank-bank Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pelaburan yang halal sahaja, tetapi pihak Bank akan menjamin pelanggan boleh mengeluarkan wnagnya pada bila-bila masa serta akan menanggung segala kerugian jika berlaku. Sebagai menghargai pelanggan yang menyimpan wang ini sehingga membolehkan pihak Bank menjalankan operasi ekonomi dan perniagaan Islam, maka jika terdapat untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan.
Bagaimanapun jumlah dan kadar hibah adalah terpulang kepada budibicara bank sepenuhnya, cuma ia mungkin berubah-ubah menurut prestasi pelaburan yang dibuat oleh Bank. Sekiranya hasil pelaburan menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri “hibah” yang agak baik. Jika pelaburan mengalami kerugian, pihak penyimpan tidak akan mendapat sebarang hibah, wang simpanan mereka juga tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana :-
· Pelanggan berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya terjamin/tanpa risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya terpulang kepada budibicara bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank akan memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika keuntungan diperolehi, demi menggalakkan minat pelanggan.
· Bank juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika tiada keuntungan. Justeru bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank Konvensional.
· Tiada sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua pelaburan yang dibuat adalah setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.
b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung):
Satu lagi produk di dalam pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah simpanan yang menggunakan konsep Mudharabah. Ia bermaksud pihak pelanggan ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama produk-produk untuk akaun ini seperti “ Akaun Pelaburan Umum Mudarabah” atau “Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah” atau “ Akaun Semasa Mudarabah”.
Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di tetapkan di peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan sebagainya.
Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul hanya akan dilaburkan untuk membiayai syarikat-syarikat yang telah di tapis secara Shariah oleh pengurusan bank dan majlis Penasihat Shariah Bank. Justeru semua “Shariah-Approved companies” ini telah di pastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di perolehi adalah harta yang bersih.
RHB Islamic Bank Berhad sebagai contoh, cukup tegas dalam memastikan semua simpanan yang diperolehi akan digunakan dan dilaburkan ke dalam urusniaga atau syarikat yang benar-benar selamat menurut Shariah.
Urusan tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana “client-friendly”, iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau “transparent” dengan “client”. Ia mungkin akan membuat penilaian dari sudut “asset” mahupun “lialibilities” sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan “filter” Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-
i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)
ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai “impure interest income” berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )
Pengamalan akaun di Perbankan konvensional amat berbeza, yang mana ia tidak terikat dengan konsep Shariah, lalu mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek penerimaan Shariah atau tidak.
Selain itu, pembaca mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh sesetengah akauan Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan purata menurut prestasi lepas, ia di gelar “indicavtive Rates” atau “kadar andaian dan ramalan” dan bukannya kadar yang tepat dan mesti diberikan oleh bank, ia di paparkan demi mencapai keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.
Cara kiraannya yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-

Cara Kiraan :-

Untung Sebenar  = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun                                                      100 
Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru “indicative” atau andaiannya seperti berikut :-3 X 70 (pelanggan) = 2.10100
Maka, jumlah 2.10 % inilah yang akan di paprkan oleh Bank bagi memaparkan prestasi akan datang Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank memberikan pulangan dengan kadar di atas.
Perlulah sedari, seseorang yang menyimpan atau melabur wangnya di dalam akaun di bank konvensional pastinya akan mendapat saham keburukan hasil sokongan langsungnya dari wang depositnya itu, sama ada mereka menyedarinya atau tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan